Rabu, 8 April 2015

PLKN: BAHANA TARBIYAH SONGSANG



1. Terdetik untuk menulis sedikit berkaitan dengan pengalaman menyertai PLKN pada awal tahun 2012 sebelum melangkah ke alam kampus selama 3 bulan. Saya pernah di tempatkan di Gambang suatu ketika. Tulisan ini sedikit sebanyak sebagai usaha menjawab pertanyaan sahabat-sahabat tentang bagaimana keadaan di PLKN, dan apa yang perlu dibuat sekiranya terpaksa menghadirinya.

2. PLKN adalah tempat memupuk racun sekularisme dan nasionalisme. Mengapa? Ayuh kita hayati kehidupan seharian di PLKN. Berpagian dengan kawad kaki. Jam 6.15 pagi wajib berada di atas padang kawad, subuh macam mana?. Alhamdulillah, di Gambang, Kagat sedikit memainkan peranannya untuk mempastikan semua muslim solat Subuh dahulu sebelum turun ke padang kawad, itupun setelah beberapa tahun berdebat dan berhujjah dengan pegawai di Gambang itu. Guru-guru yang mengajar kawad langsung tidak kelihatan di surau. Mereka hanya berada di padang kawad kemudian masuk dalam bilik masing-masing. Teladan Islamik hancur berkecai. Pernah dikongsikan oleh sahabat lain, mereka berpengalaman berdebat dengan guru yang mengerahkan semua pelatih turun ke padang kawad tanpa solat Subuh.

3. Tidak cukup dengan itu, pelatih disajikan dengan kelas 'riang ria' bermula pada jam 8 pagi sehingga tengahari. Pelatih disajikan dengan modul yang kononnya meningkatkan potensi diri dan meningkatkan rasa sayang akan negara. Padahal, modul yang disediakan sarat dengan unsur yang merosakkan moral dan jati diri anak muda. Teringat saya pada modul, guru tersebut membentangkan tajuk berkaitan perhubungan lelaki dan perempuan, dalam kenyataannya, guru tersebut menyatakan tidak mengapa sekiranya berdua-duaan tapi jangan di tempat sunyi. Fahaman sebeginilah yang merancakkan manusia berbangga-bangga dengan dosa yang dilakukan. Ada juga modul yang disuruh lelaki menatap tubuh wanita daripada atas hingga ke bawah, lalu ditanya, apa yang ada pada wanita. Modul seperti inikah yang meningkatkan jati diri? Alasan mereka, supaya kita tidak malu. Rosaknya program sebegini.

4. Banyak lagi perkara yang sekiranya diceritakan, maka terkejutlah sahabat-sahabat sekalian, saya ringkaskan tulisan ini. Dalam program yang diadakan, mesti sentiasa bergabung antara lelaki dan perempuan, pemakaian muslimah pun sudah menjengkelkan sehingga menampakkan apa yang menjadi permata bagi muslimah. Diwajibkan menyertai tarian dan banyak lagi yang tidak saya nyatakan lagi.

5. Sekiranya ditanya kepada saya adakah perlu hadir ke program PLKN ini, pasti saya akan jawab tidak. Sekiranya adik-adik berpeluang dan mempunyai inisiatif untuk tidak menghadirinya, maka lakukanlah, kerana mudharat lebih besar daripada maslahat. Ada pula yang menyatakan, sekiranya untuk dakwah, macam mana pula?. Saya tegas, mudharat lebih besar dari maslahat. Ada sahabat saya, pernah tumbang dipukul fitnah wanita. Alhamdulillah belum sempat dia terjun ke lembah noda dan fitnah dia sempat diselamatkan usai tamat PLKN, itu sahabat yang saya sangat thiqah, tahajud memenuhi jadual hidupnya sebelum PLKN, anda bagaimana?.

6. Sekiranya terpaksa?. Pertama, aplikasi dan adaptasikan ilmu yang pernah diceduk dalam bakul dakwah. Laksanakan amar ma'ruf nahi mungkar kepada pemimpin(guru², kaki tangan), pelatih, muslimin muslimat seluruhnya. Perbaiki umat Islam yang rosak, jangan kita rosak sebagaimana mereka rosak. Pasti ada yang bersedia untuk berubah disana. Teguhkan kaki bersama dengan Islam, kerana disana pasti ada yang akan menentang anda. Bersedia dengan ilmu, pengalaman dan iman. Ilmu asas wajib diluncurkan bersama. Muamalat dengan non-muslim, perbandingan agama, kerana disana mungkin akan berlaku perdebatan di antara agama lain dan Islam, dan orang yang jahil akan menilai antara Islam dan agama lain. Sentiasa berdoa kepada Allah semoga diteguhkan kaki kita bersama Islam dan semoga kita mampu memberi sinar kepada pelatih dan kaki tangan yang lain.

7. Kitalah yang melakar sejarah sendiri. Sekiranya mahu selamatkan sahabat yang lemas dalam telaga air najis, jangan pula kita yang terjun dalam air najis, hulurkan tali, tarik naik ke atas. Moga perkongsian ini memberi gambaran sedikit sebanyak kepada adik-adik untuk memacu kehidupan adik-adik.
Faqir ila_llah,
Abdul latif al-marangi.