Rabu, 8 April 2015

CUKAI MENURUT KACA MATA ISLAM

Oleh: Abdul Latif Al Marangi.

1. Setelah beberapa hari dilaksanakan GST di Malaysia, saya terpanggil untuk membuat catatan ringkas berkaitan dengan cukai dan pengurusan ekonomi dalam Islam. Allah taala telah berfirman dalam surah Al-Hasr:
مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya
2. Kita sedang menghadapi bencana yang besar iaitu harta kekayaan akan berpusing dalam kalangan orang tertentu dan tidak turun kepada rakyat. Kita juga menghadapi penjual yang tidak bertimbang rasa apabila berjual beli dan kita juga menghadapi pemimpin yang tidak bertimbang rasa mengendalikan urusan rakyat. Perkara ini terjadi kerana kita meninggalkan Islam.
3. Sikap tidak bertanggungjawab pemimpin negara ini memberi impak yang cukup besar kepada rakyat kerana pemimpin yang tidak mengikut lunas yang telah digaris syara'. Kita mesti memahami bahawa amanah kepimpinan bukanlah satu medan untuk mencari harta. Hal ini disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith, 15 perkara yang akan mengundang bala segera daripada Allah, di antaranya apabila amanah kepimpinan dijadikan medan mencari harta dan harta berpusing dalam kalangan orang tertentu sahaja.
4. Sepatutnya kerajaan mengiatkan ekonomi rakyat menggunakan sumber yang ada kerana dengan perkembangan ekonomi rakyat menambahkan hasil negara dan pendapatan negara melalui cukai-cukai yang dikenakan kepada orang kaya dan tidak dikenakan kepada oranh miskin. Dalam Islam diwajibkan zakat harta. Zakat ini dikenakan mengikut kadar yang telah ditentukan sebagai orang kaya. Sekiranya menternak kambing 40 ekor dan keatas, barulah dikenakan zakat, sekiranya menternak 20 ekor sahaja, maka zakat tidak dikenakan ke atasnya. Begitulah keadaannya kepada petani-petani dan lain-lainnya. Orang miskin tidak dikenakan zakat. Dan zakat adalah rukun Islam, wajib dilaksanakan sama ada berkerajaan ataupun tidak.
5. Islam memperkenalkan Jizyah iaitu cukai kepada orang bukan Islam dan disebut sebagai cukai keselamatan negara. Kharaj adalah cukai pertanian dan lain-lain lagi. Cukai ini diambil daripada orang kaya dan sekali-kali tidak diambil daripada orang miskin. Paderi tidak dikenakan cukai kerana mereka tidak bekerja. Cukai ini dikenakan kepada orang berada dengan syarat pemerintah Islam mestilah menjalankan tanggungjawab.
6. Apabila pemerintah Islam tidak mampu menjaga keselamatan, kerajaan mestilah memulangkan semula cukai yang dikenakan kepada orang bukan Islam, dan kerajaan tidak boleh mengenakan cukai. Orang bukan pastinya terkejut sekiranya mereka memahami percukaian Islam ini. Berlaku di zaman Saidina Umar, apabila mereka tidak mampu menjaga keamanan negara, kerajaan Islam memulangkan kembali cukai yang diambil kepada orang bukan Islam menyebabkan orang Islam kehairanan dan mereka lebih rela berada dibawah pemerintahan Islam.
7. Islam juga menolak rasuah. Berdosa memberi dan menerima rasuah dan kesemua mereka adalah dalam neraka. Rasulullah bersabda:
قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
ٌ
“Rasulullah melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah"
8. Islam mengajar pemerintah supaya menaikkan pendapatan rakyat bukannya menaikkan cukai. Umar bin Abdul Aziz menjawab surat seorang gabenor dengan tegas apabila gabenor tersebut ingin menaikkan cukai, beliau menjawab:
“Allah mengutuskan Muhammad untuk mengajak orang manusia kepada mengenal Islam, bukannya mengenal cukai".
9. Malangnya apabila orang Islam tidak mengikut cara Islam. Apabila hutang meningkat, dinaikkan cukai, apabila dinaikkan cukai maka dinaikkan pula harga barangan. Kedudukan ekonomi rakyat tidak meningkat. Gaji rakyat yang tidak mencukupi dan kesan sara hidup yang cukup tinggi mengakibatkan berlaku jenayah dan gejala yang tidak sihat.
10. Islam membawa solusi kepada segala permasalahan yang berlaku. Maka, ayuh kembalilah kita insaf menurut Islam. Allah taala mendatangkan bencana ini supaya menjadi peringatan kepada manusia umumnya sebagaimana firman Allah:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
11. Dan dapat kita lihat sendiri kesan apabila kerajaan memerintah tidak mengikut celupan Islam. Ketempangan terus berlaku dan akhirnya melemahkan lagi iman orang yang beriman dan menjauhkan orang bukan Islam untuk memeluk Islam hasil daripada tindakan mereka tidak menterjemahkan Islam dengan sebenarnya. Benarlah kata ulama' Islam itu terhijab dengan perbuatan umat Islam itu sendiri.
07 April 2015.